Apakah Air Liur Kucing Najis – Adakah air liur kucing itu kotor? Dan bagaimana pula status hukumnya bagi lendir hidung kucing dan jilatan kucing?
Dalam artikel ini, kami akan menerangkan tentang kebersihan air liur kucing dan isu-isu lain yang berkaitan dengan haiwan kesayangan ini, terutamanya kepada para penyayang kucing di luar sana.
Pengetian Air Liur Kucing
Air liur ialah cecair yang dilepaskan oleh kelenjar liur. Fungsinya utama adalah untuk mempermudah pengambilan dan pencernaan makanan.
Selain daripada itu, air liur turut membantu dalam menjaga kesihatan gigi dan struktur organ dalam mulut daripada serangan bakteria. Ia juga berperanan penting dalam proses pengecap makanan.
Secara amnya, kira-kira 99 peratus daripada komposisi air liur adalah air. Manakala selebihnya mengandungi pelbagai zat terlarut seperti natrium, klorida, kalium, kalsium, magnesium, bikarbonat, dan fosfat. Selain itu, ia turut mengandungi imunoglobulin, protein, enzim, urea, serta ammonia.
Perbezaan Air liur Kucing dan Anjing
1. Bakteria Berbahaya
Kucing mempunyai kandungan Staphylococcus intermedius dan Pasteurella multocida dalam air liurnya, terutamanya jika mereka tinggal dalam kumpulan atau sering berada di luar.
Manakala air liur anjing mengandungi mikrobium yang boleh menyebabkan jangkitan kesihatan kepada manusia dan haiwan lain.
2. Kegunaan Air Liur
Air liur kucing mempunyai kandungan protein dan enzim seperti laktoferin dan nitrat yang berperanan sebagai agen antibakteria semula jadi. Komponen-komponen ini memberikan perlindungan terhadap bakteria dan kulat pada kucing.
Sementara itu, air liur anjing pula mengandungi pelbagai agen berguna yang membantu mereka melawan jangkitan. Misalnya, histamin yang terdapat dalam air liur anjing berperanan penting dalam menahan jangkitan selepas mengalami luka atau kecederaan terbuka.
3. Air Liur Siapa Lebih Bersih?
Kajian menunjukkan bahawa kucing mempunyai kira-kira 200 jenis bakteria dalam mulut mereka, berbanding anjing yang memiliki sekitar 600 jenis bakteria.
Dari segi kuantiti yang berbeza ini, jelas menunjukkan bahawa mulut anjing lebih tercemar daripada mulut kucing.
Apakah Air Liur Kucing Najis?
Air liur kucing tidak dianggap najis menurut hukum Islam. Sebaliknya, dalam pandangan agama, air liur kucing adalah suci, dan hal yang sama berlaku untuk air liur haiwan lain kecuali anjing dan babi.
Imam Nawawi menyatakan:
“Ketahui olehmu sungguhnya tiada beza pada peluh dan air liur dan kahak dan air mata antara orang yang junub dan haidh dan yang suci dan muslim dan kafir dan baghal dan keldai dan kuda dan tikus dan sekelian haiwan buas dan sekelian haiwan yang melata bahkan ialah suci dari kesemuanya dan dari sekalian haiwan itu suci melainkan anjing dan babi dan anak dari keduanya.” – (Kitab Al-Majmu’)
Ada juga disebutkan dalam Kitab Al-Musu’atul Fiqhiyah:
“Dan berkata oleh ulamak-ulamak mazhab Syafie sungguhnya apa yang terpisah dari batin haiwan dan tidak berkumpul dan bersekali di dalam batin. Hanyalah ia air yang terbit sahaja seperti air liur dan air mata dan peluh dan kahak. Maka baginya mengikut hukum haiwan itu yang jika haiwan itu najis maka ia najis dan jika haiwan itu suci maka ia suci.”
Apakah Ingus Kucing Najis?
Setiap cecair yang diproduksi oleh haiwan yang bukan berasal dari perutnya dianggap suci menurut hukum agama.
Jika haiwan itu dianggap suci, maka cecair hingus yang dihasilkannya dianggap suci juga. Oleh itu, peluh, air liur, dan hingus kucing dianggap suci.
Penjelasan ini diberikan oleh Imam al-Nawawi:
“Cecair yang terpisah daripada bahagian dalaman haiwan terbahagi kepada dua. Pertama, cecair yang tidak mengalami proses pengumpulan dan perubahan di dalam perut.
Cecair tersebut hanya sekadar meresap keluar sahaja. Kedua, cecair yang mengalami proses pengumpulan dan perubahan di dalam perut kemudiannya cecair tersebut keluar.
Contoh cecair jenis pertama ialah air liur, air mata, peluh dan hingus, maka hukum dari cecair jenis ini berdasarkan kepada hukum haiwan yang mengeluarkan cecair tersebut. Jika haiwan tersebut dihukumkan najis, maka cecair tersebut najis.
Sebaliknya, jika keluar daripada haiwan yang suci, maka cecairnya juga dihukumkan suci. Contoh cecair jenis kedua ialah darah, kencing, tahi dan muntah.
Kesemuanya (cecair jenis kedua) dihukumkan sebagai najis tidak kira sama ada ia keluar daripada haiwan yang boleh dimakan atau tidak.” – (Rujuk Raudhah al-Tolibin, 1/16)
Hukum Pada Air Yang dijilat Kucing
Menurut ajaran yang dianuti oleh pengikut Imam al-Syafie, adalah dianggap suci serta tidak ditegah untuk menggunakan air yang tersentuh oleh lidah kucing. Sebagaimana yang diutarakan oleh Kabsyah binti Ka`ab bin Malik:
“Bahwa Abu Qatadah masuk menemuinya. (Kabsyah) berkata; “Aku menuangkan air (dalam bekas) untuknya berwuduk, tiba-tiba seekor kucing lalu meminum daripada air tersebut.
Abu Qatadah kemudian mengiringkan bekas tersebut hingga kucing tersebut dapat minum.” Kabsyah berkata; “Abu Qatadah tahu bahwa aku sedang memperhatikannya, maka dia pun berkata; “Apakah engkau terkejut wahai puteri saudaraku?”
Aku menjawab, “Ya, ” Abu Qatadah berkata; “Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: ” Kucing itu tidak najis.
Sesungguhnya kucing merupakan haiwan yang biasa berkeliaran di sekelilingmu.” – (Riwayat al-Nasaie, al-Tirmidzi, Abu Daud dan lain-lain)
Kesimpulan
Artikel bacadoa.my ini menyimpulkan bahawa air liur kucing memainkan peranan penting dalam pencernaan dan penjagaan mulut kucing dengan mengandungi bahan-bahan yang melindungi daripada bakteria serta mengekalkan kebersihan. Kandungan bakteria dalam air liur kucing juga terbukti lebih rendah berbanding dengan air liur anjing, menunjukkan tahap kebersihan mulut yang lebih tinggi pada kucing.
Selain itu, dalam perspektif agama Islam, air liur dan hingus kucing dianggap suci, dan bahawa air yang terkena jilatan kucing tidak dianggap kotor mengikut ajaran yang dipegang oleh pengikut Imam al-Syafie. Ini memberikan keyakinan kepada pemilik kucing bahawa unsur-unsur tersebut adalah bersih dan suci menurut kepercayaan agama.