√ Hukum Keputihan Wanita: Apa Sah Solat dan Berpuasa?

Keputihan Wanita – Apakah yang dimaksudkan dengan keputihan wanita dan apakah hukumnya jika ia terjadi semasa solat, tawaf, dan berpuasa?

Dalam artikel ini, kami ingin mengupas isu yang sering dialami oleh wanita iaitu keputihan, serta memberikan penerangan yang komprehensif tentang hukumnya.

Pengertian Keputihan Wanita

Dalam bidang perubatan, keputihan atau lebih dikenali sebagai leucorrhea merujuk kepada cecair atau lendir yang mengalir dari faraj wanita.

Dari segi agama, keputihan (الإفرازات/ رطوبة جوفية) merujuk kepada cecair yang keluar dari bahagian dalaman faraj seperti air mazi, air wadi, dan sebagainya.

Berdasarkan kajian, hampir setiap wanita akan mengalami keadaan ini. Keputihan biasanya berwarna putih kemerahan atau seperti lendir yang berwarna putih bersamaan dengan sedikit kekuningan atau hijau.

Faktor Penyebab Berlaku Keputihan

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan keputihan pada wanita. Faktor-faktor ini termasuklah:

  1. Kanser serviks atau kanser pangkal rahim.
  2. Pengambilan antibiotik atau steroid.
  3. Bakteria vaginosis, satu jenis jangkitan bakteria yang biasanya berlaku kepada wanita hamil atau wanita yang mempunyai beberapa pasangan seksual.
  4. Penggunaan pil perancang keluarga.
  5. Klamidia atau gonorea, yang merupakan penyakit kelamin.
  6. Diabetes.
  7. Penggunaan sabun wangi, losyen, atau mandian buih.
  8. Penyakit radang pelvik.
  9. Trikomoniasis, satu jenis jangkitan parasit yang sering berpunca dari hubungan seks tanpa penggunaan alat perlindungan.
  10. Atrofi faraj, iaitu penipisan dan pengeringan dinding faraj semasa menopaus.
  11. Jangkitan kulat.

Fungsi Keputihan Wanita

Tujuan utama kehadiran keputihan adalah sebagai agen pembersihan semula jadi yang bertanggungjawab dalam menghapuskan bakteria yang tidak diingini, bertujuan untuk melindungi kawasan faraj daripada jangkitan dan ketidakselesaan yang mungkin timbul.

Perbezaan Antara Mani, Mazi, Wadi dan Keputihan

Air mazi merupakan cecair bening yang dikeluarkan apabila seseorang terangsang secara seksual. Penting untuk diingat bahawa jika air mazi dikeluarkan akibat dari tindakan tidak senonoh seperti menonton gambar atau filem lucah, sudah pasti ia dianggap sebagai suatu dosa.

Mani pula adalah cecair yang pekat dan keruh yang dikeluarkan semasa mencapai klimaks seksual atau disebabkan oleh mimpi basah.

Wadi adalah cecair keruh yang kadang-kadang dikeluarkan semasa kencing atau menanggung beban berat.

Sementara itu, keputihan merujuk kepada cecair yang keluar dari bahagian intim wanita tanpa dipengaruhi oleh rangsangan seksual.

Hukum Keputihan Dalam Islam

Berkata Imam Syafie dalam kitab al-Umm:

كُلِّ مَا خَرَجَ مِنْ ذَكَرٍ مِنْ رُطُوبَةِ بَوْلٍ، أَوْ مَذْيٍ أَوْ وَدْيٍ أَوْ مَا لَا يُعْرَفُ، أَوْ يُعْرَفُ فَهُوَ نَجِسٌ كُلُّهُ مَا خَلَا الْمَنِي

“Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada  kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani ( Lihat  al-Umm 1/72). Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj  selain  mani, maka statusnya najis.

Keadaan keputihan dianggap sebagai sesuatu yang membatalkan wuduk kerana ia berasal dari dalam faraj (bahagian yang tidak memerlukan pembersihan semasa istinjak).

Menurut pandangan Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin,

Keputihan membatalkan wuduk seperti angin dan kencing yang keluar daripada dalam. Akan tetapi jika keputihan  keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wuduk. Oleh itu, tidak mengambil wuduk melainkan setelah masuk waktu dan wuduk bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran  (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Uthaimin, 1/284 – 285)

Panduan Wanita Keputihan Ketika Beribadah

Wanita yang mengalami keputihan secara berterusan dianggap seperti wanita istihadah yang selalu dalam keadaan hadas yang dikenali sebagai daim al-hadath.

Dalam situasi ini, terdapat beberapa langkah yang disyorkan bagi wanita yang mengalami keputihan:

  1. Membersihkan faraj daripada najis keputihan.
  2. Menggunakan tuala wanita seperti pantyliner di bahagian luar faraj untuk mengelakkan keputihan daripada mengalir keluar.
  3. Melaksanakan wuduk selepas memasuki waktu sembahyang.
  4. Wuduk tersebut hanya sah untuk satu sembahyang fardu pada satu masa dan beberapa sembahyang sunat.

Penekanan terhadap langkah-langkah ini didasarkan pada riwayat berikut:

Fatimah binti Hubaisy R.Anha datang menemui Rasulullah SAW untuk berkongsi tentang keadaan darah istihadahnya. Baginda kemudian memberikan panduan:

ثُمَّ اغْتَسِلِي وَتَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلَاةٍ وَصَلِّي

Maksudnya: “Mandilah, kemudian berwuduklah bagi setiap waktu solat dan solatlah.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 298)

Kesimpulan

Kesimpulan daripada artikel bacadoa.my ini ialah bahawa keputihan wanita adalah fenomena semula jadi yang hampir dialami oleh semua wanita. Keputihan ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti jangkitan, keadaan kesihatan, atau penggunaan ubatan tertentu. Ia mempunyai peranan penting sebagai agen pembersihan bagi melindungi kawasan faraj daripada jangkitan, walaupun ia dianggap sebagai najis dalam Islam.

Oleh itu, wanita yang mengalami keputihan disarankan untuk membersihkan diri dan melakukan wuduk sebelum setiap waktu sembahyang. Mereka juga perlu mengambil langkah-langkah tertentu semasa beribadah seperti menggunakan tuala wanita dan menjaga kebersihan faraj.